PENAJA

BACAAN AL-QURAN

gravatar

Fatwa DNA Babi Dalam Makanan

Pencemaran Asid Deoksiribonukliek (DNA) Babi Pada Produk Makanan Yang Disahkan Halal: Penelitian Dari Aspek Sains Dalam Menentukan Kaedah Penyelesaiannya Mengikut Aspek Syarak


Keputusan: 

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 yang bersidang pada 13-15 Oktober 2011 telah membincangkan mengenai Pencemaran Asid Deoksiribonukliek (DNA) Babi Pada Produk Makanan Yang Disahkan Halal: Penelitian Dari Aspek Sains Dalam Menentukan Kaedah Penyelesaiannya Mengikut Aspek Syarak. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

Setelah mendengar taklimat dan penjelasan daripada Y. Bhg. Prof. Dato’ Dr. Yaakob Che Man dan Y. Bhg. Encik Dzulkifly Mat Hashim, daripada Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH) Universiti Putra Malaysia serta meneliti hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa Islam adalah agama yang bersifat mudah, menyenangkan dan tidak memberatkan umatnya dalam sesuatu perkara atau muamalah sehingga menyempitkan kehidupan harian.

Dalam isu pencemaran bahan-bahan najis seperti DNA Babi yang berlaku pada produk makanan halal, Muzakarah menegaskan bahawa berdasarkan keterangan pakar, setakat ini belum ada penyelidikan yang dilakukan untuk mengenalpasti samada DNA Babi yang tercemar tersebut asli atau sintetik dan sejauhmana tahap pencemarannya juga tidak diketahui. Walau bagaimanapun pencemaran DNA tersebut boleh berlaku dengan mudah melalui udara secara tidak disedari atau tanpa diketahui secara zahir dan pakar-pakar sains berpandangan adalah amat sukar untuk menghalang pencemaran tersebut daripada berlaku.

Sehubungan itu, dalam menangani isu ini berdasarkan Qaedah Fiqhiyyah الأَصْلُ بَقَاءُ مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ (Asal sesuatu perkara hendaklah dikekalkan mengikut asalnya) dan الْمَشَقَّةِ تَجْلِبُ التَيْسِيْرَ (Kesukaran boleh membawa kepada kemudahan), Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa produk-produk makanan atau minuman yang telah dikaji secara terperinci dan semua ramuan, kandungan dan cara pemprosesannya telah disahkan sebagai bersih, suci dan halal, serta telah menjadi bahan makanan dan minuman umat Islam secara meluas, tetapi kemudiannya didapati produk tersebut mengandungi bahan-bahan najis seperti DNA Babi akibat daripada pencemaran yang tidak disengajakan atau tidak disedari, maka adalah harus bagi umat Islam mengambilnya sebagai makanan atau minuman kerana kandungan asal produk tersebut adalah halal.
Bagi bahan-bahan peralatan pemprosesan yang telah melalui proses samak seperti yang ditetapkan oleh Syarak dengan pemantauan/penyeliaan pihak berkuasa agama, tetapi masih lagi didapati mengandungi DNA Babi, Muzakarah memutuskan bahawa adalah memadai dengan proses samak yang telah dilakukan tersebut dan ianya tidak perlu diulang.

Keputusan ini adalah berdasarkan pensyariatan Islam yang tidak mentaklifkan kepada manusia apa yang mereka tidak mampu melakukannya atau membebankan dan menyukarkan mereka. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 185:
Maksudnya: Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.

Share the thoughts..sharing is caring
gravatar

Ubat Dukacita

Disusun: Ummu Hikmah(zueriffazue)

Dukacita, ialah penyakit yang timbul lantaran terlampau kuatnya keterikatan dengan dunia ini.
Keterikatan itu pasti ada selama kita hidup iaitu keterikatan dengan anak, isteri dan sebagainya.

Kerana kehilangan orang yang dikasihi atau orang yang disukai. Sebab dari timbulnya dukacita itu, kerana terlalu besar mementingkan keperluan jasmani, dan syahwat tidak terbatas sehingga timbul kepercayaan bahawa barang yang dicintai itu tidak boleh berpisah-pisah selama-lamanya dari badan.

Pada hal kalau manusia telah tenteram hatinya, sihat badannya, dan cukup pula yang akan di makan pagi dan petang, itulah orang yang sekaya-kayanya dan sesenang-senangnya.
Kalau sudah begitu masih merasa dukacita juga, tandanya orang itu kurang akal dan kurang budi.

Timbul penyakit dukacita ialah lantaran menyedari keberuntungan yang telah berlalu, atau takut menghadapi bahaya yang akan datang, atau kerana memikirkan bahawa yang ada sekarang ini masih belum cukup dan serba kurang.

1. Dukacita Memikirkan Yang Telah Lalu

Kalau manusia berdukacita memikirkan keberuntungan, kekayaan dan kemuliaan yang telah hilang, kedukaan itu tidak berfaedah sama sekali, sebab segala kejadian yang telah lalu walaupun bagaimana meratapinya, tidaklah akan kembali. Sedangkan masa dua minit yang lalu, walaupun dikejar dengan kapalterbang, yang sekencang-kencangnya atau yang melebihi kecepatan suara, tidaklah dapat dikejar.

Apa guna meratapi yang telah lalu, dia tak akan pulang, dan kerana diratapi, dia boleh merosakkan badan.
Kedukaan yang begini timbulnya lantaran tidak berkeyakinan bahawa segala isi alam ini asalnya tidak ada, kemudian itu ada dan akhirnya akan lenyap.

Kemuliaan, ketinggian, kemajuan kecintaan yang disayangi anak dan isteri, harta benda, semuanya akan datang kepada kita dan akan pergi dari kita.
Kalau tidak kita yang pergi lebih dahulu, tentu mereka.
Sebab kepergian itu berdahulu, berkemudian juga.

Mengubat dukacita ini tidak lain hanyalah dengan menjaga yang tinggal sekarang.
Kerana semuanya ini, baik yang telah pergi dan hilang atau yang sedang ada, apalagi yang akan datang, semuanya itu nikmat.
Jangan sampai lantaran meratapi nikmat yang hilang, kita lupa akan nikmat yang ada.

Nanti yang ada itu, setelah hilang diratapi pula.
Dalam pepatah ada tersebut: "Kalau ada jangan harap, kalau hilang janganlah cemas.”

Di waktu nikmat melimpah, hendaklah syukuri, letakkan ditempatnya. Insaf bahawa barang ini hanyalah pinjaman.
Jika nikmat yang sangat dicintai itu masa muda, gunakanlah masa muda itu dengan baik, dan yakini masa muda itu tak lama.

Kalau dipergunakan dengan baik, kelak kalau sampai tua, kita tidak menyesali kepergiannya lagi, melainkan tersenyum dan bangga bahawasanya semasa muda dahulunya, kita telah berbuat baik.
Kalau nikmat yang melimpah itu harta benda, kekayaan dan kemuliaan, peliharalah dan gunakan dengan baik.

Jangan dilupakan bahawa dia akan pergi. Jangan hanya diingat semasa 'saya kaya dahulunya'. Ingat pula yang sebelum itu, iaitu 'Semasa saya lahir dahulunya'.

Seketika Maharaja Iskandar Zulkarnain akan menghembuskan nafasnya yang penghabisan, setelah menaklukkan negeri-negeri Persia dan India, setelah dirasakannya bahawa telah sampai waktunya kembali ke akhirat, maka Maharaja yang muda belia itu mengumpulkan orang-orang besarnya dan berkata: "Bilamana aku mangkat, letakkan mayatku dalam peti, bawa ke negeri Persia dan Mesir dan ke segenap jajahan yang telah aku taklukkan.

Dari dalam peti hendaklah hulurkan kedua belah tanganku yang kosong, supaya orang tahu bahawa Raja Iskandar yang berkuasa, walau bagaimana kuasa sekalipun, dia kembali ke akhirat dengan tangan kosong juga.

Jika ibu dan ahli rumahku hendak meratapi mayatku, janganlah dilarang mereka meratap, cuma suruh saja cari dua orang yang akan jadi temannya, iaitu orang yang tidak akan mati selama-lamanya, dan orang yang tidak pernah kematian. Kalau yang berdua itu telah ada, bolehlah mereka meratapi aku."

2. Dukacita Memikirkan Yang Sekarang

Kalau orang berdukacita memikirkan yang sekarang barangkali orang ini berdukacita kerana orang lain dapat nikmat, dia tidak.

Atau kerana melarat hidupnya, dan cita-citanya yang sentiasa tak berhasil.
Barangkali dia kekurangan harta, kurang mulia. Barangkali juga dia tidak duduk sama rendah, tegak sama tinggi dengan orang lain.
Sebabnya orang ini berdukacita, ialah lantaran dia tak tahu rahsia kehidupan dan dunia.

Dia tidak tahu dunia ini kandang penipuan. Ini hari disenyumkannya kita, esok ditangiskannya.

Kalau hendak mengubati penyakit ini, janganlah diingat tatkala Napoleon jadi kaisar saja, tetapi hendaklah diingat pula semasa dia mati di tanah pembuangan di Pulau St. Helena.

Kalau difikirkan sampai ke sana, timbullah syukur dalam hati, mujurlah saya dalam keadaan yang begini.

Secinta-cinta orang kepada perempuan cantik, kalau difikirkannya akhir akibat perempuan itu, akan kuranglah cintanya. Sebab rahsia dunia ini terlalu ganjil.
Tiap-tiap kemuliaan mengandung racun, dan tiap-tiap kesengsaraan mengandung faedah.

Manusia hidup di dunia diancam dengan tiga anak panah. Panah kejatuhan, panah penyakit, dan panah kematian.

Lihatlah garis perjalanan dunia, peredaran politik tiap hari, lihat dan baca.
Jangan dilihat dan dibaca saja, perhatikan pula akibatnya.
Cuba lihat negeri Austria di masa yang lalu menjadi pusat Kerajaan Austria Hungaria.
Kemudian jadi satu bahagian kecil dari Jermania Raya. Kemudian jadi kota kecil yang miskin.
Kekayaannya hanya semata-mata sejarah.

Lihat pula negeri Jerman, menjadi kerajaan yang kalah, kemudian naik daun, kemudian kalah dan bangkit menjadi bangsa yang kuat.
Demikian keadaan negeri, demikian pula raja-raja.
Itulah hidup.

Kalau diperhatikan segala kejadian ini dengan saksama, tidaklah orang akan berhiba hati memikirkan kekurangan diri dan nasib, tidak pula akan tercengang melihat kenaikan dan kejatuhan orang lain, tidak harap lantaran dapat untung, dia tidak cemas lantaran beroleh rugi.

Janganlah menyangka, bahawa 'hidup' itu hanya bernafas, hanya makan dan minum.
Carikan segala ikhtiar untuk memperbanyak pengalaman dan ilmu dari edaran alam.

Berjalanlah ke pasar-pasar, ke muka-muka pejabat bank. Lihatlah bagaimana seorang cashier payah-payah menghitung-hitung wang berjuta-juta tiap hari, sedang gajinya hanya 60 sen sebulan.

Jangan pula lupa melihat anak kecil dan perempuan-perempuan tua yang duduk di muka bank itu.

Duduk berlindung di cucuran atapnya, kerana tidak mempunyai rumah.
Batasnya dengan tempat penyimpan wang berjuta-juta itu hanya sebatas dinding, tetapi bukan dia yang punya.

Cuba periksa apakah tuan yang menguasai bank itu bersukacita dan gembira lantaran wang banyak?
Pernahkah tuan itu susah? Pernah! Dia menyusahkan wangnya yang banyak, dan perempuan dan anak kecil dan nenek tua yang duduk di muka bank itu menyusahkan wang pembeli nasi tak ada.

Cuma yang disusahkan yang berlainan, darjat susah sama.
Semasa agama Islam mulai dibangkitkan, Rasulullah SAW melarang sahabat-sahabatnya ziarah ke kuburan, takut kepercayaan dan iktikad mereka akan rosak kembali, kerana mereka masih dekat dengan zaman jahiliah.

Tetapi setelah tiba di Makkah, larangan itu baginda cabut buat kaum lelaki, mereka dibolehkan ziarah ke kubur.
Lantaran ziarah ke kubur menimbulkan ingatan kepada kematian. Tidak berapa lama kemudian, perempuan-perempuan diberi pula keizinan, untuk menjadi iktibar.

Ahli-ahli tasauf banyak ziarah ke dekat-dekat penjara, ke rumah sakit, ke tempat-tempat orang miskin yang melarat, bahkan mereka singkirkan (elakkan) mendekati istana-istana.

Apakah guna semua itu? Ialah untuk menimbulkan keinsafan bahawa kita tak boleh berdukacita atas kesusahan, dan tak boleh bergembira benar atas kemuliaan, kerana dunia ini penuh rahsia.

Dalam urusan kehidupan hendaklah mengadap kepada orang yang lebih atas jangan terbalik, supaya tidak hilang pedoman.

Itulah maka kerapkali bila ditanya seorang yang salah: Apa sebab engkau berbuat kesalahan ini? Dia menjawab: Sedangkan tuan Anu berbuat demikian.
Jika ditanyai, mengapa engkau menghabiskan umur begini dalam hidupmu? Dia menjawab: Aku sangat ingin bermegah-megah semacam si Anu.

3. Dukacita Memikirkan Yang Akan Datang
Jika orang berdukacita memikirkan masa yang akan datang, tentu yang dia fikirkan satu dari dua macam kejadian, iaitu yang pasti datang dan yang barangkali datang.

Yang pasti datang adalah mati dan tua, mustahil menolaknya.
Hal itu tak usah diulang lagi.

Duka mengingat akan tua dan mati, adalah duka kerana jahil.
Kalau hal itu masih boleh ditolak, lebih baik jangan dihabiskan hari dalam berdukacita, tetapi lekas-lekaslah sediakan segala usaha penolak yang ditakuti itu.
Kalau hanya berdukacita saja, tentu dia datang juga, tandanya kita tidak percaya adanya kudrat dan iradat Allah.

Di sinilah perlunya persediaan 'tawakkal' serahkan keputusan itu kepada Allah SWT.
Itulah maksud firman Tuhan: "Tiadalah menimpa suatu musibah di dalam bumi ini, atau di dalam dirimu sendiri, melainkan semuanya itu telah tertulis di dalam

Kitab, sebelum ia terjadi dahulunya. Semuanya itu bagi Allah mudah saja. Supaya janganlah kamu sekalian berdukacita mengingat barang yang telah hilang dan jangan pula bersukacita atas barang yang datang kepadamu, dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong dan membanggakan diri." (QS Al-Hadid: 22~23)

Orang sangat takut bahaya yang akan datang, kerana hatinya lekat kepada dunia dan sombong lantaran nikmat dunia. Dia tidak ingat kepada pepatah: "Bukanlah malam itu sentiasa berbuat kebaikan kepada manusia.
Tetapi kebaikan itu kelak akan diikutinya dengan kesusahan."

Wallahua'lam.

Share the thoughts..sharing is caring
gravatar

Ugutan buat Aziz Bari belum berdosa

Oleh: Subki Latif

Prof Dr Aziz Bari yang digantung jawatannya di UIAM dengan tali reput, kini menerima pula surat ancaman ke atas jiwanya bersama sebutir peluru. Kes itu telah dilaporkannya ke balai polis.
 
Semua bersetuju bahawa surat ancaman beracun itu adalah satu jenayah oleh pengirimnya baik seorang mahu pun secara berkumpul. Laporan itu perlu untuk rekod polis.

Tetapi dari pandangan Islam, sebarang niat jahat seperti yang dibuat oleh si pengirim peluru dan surat ancaman kepada Dr Aziz Bari itu belum dikira berdosa.

Malaikat yang tahu akan niatnya dan tahu dia mengantar peluru itu kepada Aziz belum mencatitnya sebagai satu dosa. Walau pun ugutan itu sah satu ancaman dan jenayah. Tetapi ia berdosa baik kecil mahu pun besar apabila niat itu dilaksanakan.

Berbeza dengan niat baik, seperti komen Aziz tentang penglibatan Raja dalam isu yang menyebabkan dia menerima peluru dan surat ugutan, jika niatnya baik untuk membuat komen itu dia dapat satu pahala. Tetapi apabila komen itu dibuatnya, dia dapat satu lagi pahala.

Bagaimana pun pengirim peluru yang sudah dikira satu jenayah, belum lagi berdosa, tetapi apabila peluangnya untuk melaksanakan niatnya, tiba-tiba dia tidak jadi melakukannya malah ia menyesal atas niatnya itu kerana takutkan Allah, maka dia dicatit sebagai orang yang beruntung. Orang yang beruntung sudah tentu ada pahala.
Apa pun surat beracun untuk Aziz itu adalah mencerminkan bentuk orang dan masyarakat yang dibentuk oleh kemerdekaan negara yang sudah 54 tahun itu.

Dengan amalan demokrasi yang sekian lama, kemajuan pendidikan pesat hingga wujud berpuluh universiti awam dan swasta, perkhidmatan polis yang bertambah canggih, pembangunan Islam menelan berbilion ringgit, sepatutnya tidak ada lagi orang berfikir seperti orang-orang istana sekeliling Melaka dulu yang memfitnahkan Hang Tuah.

Dengan perkembangan terbuka sejak mereka, tiada lagi orang yang berfikiran sempit seperti itu. Ia mungkin dibuat oleh rasa cinta dan setia yang terlalu tinggi tentang raja. Tindakan seperti itu menjadikan dia lebih setia kepada Raja dibandingkan dengan Aziz.

Raja dan kerajaan tidak akan seronok dengan tindakan mengugut terhadap Aziz itu. Ia boleh menyebabkan orang terasa, inikah rupa rakyat yang dapat dilahirkan di bawah payung raja dan istana? Inikah bentuk rakyat yang diwujudkan oleh kerajaan?

Ia sama saja dengan tindakan orang-orang yang mengusung kepala lembu dari masjid ke pejabat Menteri Besar Selangor satu masa dulu. Mungkin ada tujuan yang baik tetapi mengusung kepada lembu mnyebabkan semua orang lain merasa malu.

Ia amat jauh dari keinginan Perdana Menteri Najib Razak untuk mengisi transformasi politik dan lain-lain berpaksi kepada kaedah maqasit syariah. Antara lima cabang maqasid syariah itu adalah menjaga nyawa manusia.

Dengan seluruh manusia berhak hidup sehinggalah tiba ajalnya. Bukan mengancam keselamatan dan jiwa Aziz Bari.

Sudah begitu banyak kita bertemu dengan mati yang dibuang dan mayat ditemuai bergelimpangan di sana sini. Semuanya ini tidak mencerminkan negara menuju pelaksanaan maqasid syariah.

Penghantaran surat berpeluru kepada Aziz ada bukti tiada langsung bau ajaran maqasid syariah itu.
Langkah menggantung jawatan Aziz oleh UIAM sudah dikira tindakan seperti tindakan raja dan pembesar Singapura membunuh Hang Nadim yang menyelamatkan rakyat dari serangan todak. Pentadbiran UIAM telah malu dan menyesal atas perbuatannya ala pembesar Singapura purba itu.

Tetapi ia disambut pula oleh tukang bodek yang membabit kemuliaan istana sedang tindakannya tidak menyenangkan istana dan semua pihak bagi menjaga dan memelihara kedaulatan istana.
Raja dan kerajaan tidak berbangga adanya orang seperti itu. Ia tidak membantu raja dan kerajaan menjadi pemerintah dan pentadbir yang berdaulat dan berwibawa. Tetapi ia akan menambahkan masalah sosial dan negara.

Kalau berlaku sesuatu kepada Aziz, maka natijahnya sama seperti menghadapi isu Altantuya yang terus tidak selesai. Ketua Polis Negara tidak seronok, Peguam Negara tidak seronok dan semuanya tidak seronok. Cukuplah dengan satu kes Altlantuya Shaariibuu. Jangan ada lagi kes seperti itu.

Share the thoughts..sharing is caring

Kekejaman Yahudi

Penafian Kesihatan/Liabiliti

Laman web ini dibangunkan untuk menyediakan maklumat yang boleh dipercayai mengenai perkara yang dibincangkan. Namun begitu, ianya dipersembahkan dengan kefahaman bahawa pengurus laman web dan penulis berkenaan tidak memberi sebarang nasihat profesional. Sekiranya nasihat profesional diperlukan, sila berhubung dengan profesional bertauliah. Maklumat kesihatan yang dipersembahkan di laman web ini adalah untuk tujuan pengetahuan sahaja. Ia bukan bertujuan untuk mengambil alih nasihat, diagnosa atau pengubatan oleh pengamal perubatan bertauliah. Anda hendaklah mendapatkan nasihat doktor anda atau pengamal perubatan bertauliah mengenai apa-apa soalan mengenai kesihatan. Jangan sekali-kali mengabaikan nasihat profesional perubatan atau menangguhkannya disebabkan apa yang telah anda baca. Pengurus laman web dan penulis berkenaan dengan ini menafikan sebarang liabiliti dan tanggungjawab ke atas apa-apa kerugian atau kerosakan atas penggunaan kandungan atau maklumat dari laman web ini.

Klik 'Join this site' untuk berkongsi

Demi Masa

Lawatan

Alexa Ranking

Islam Online | Blog Templates | Based on Ainun Nazieb Template | Coded and SEO by Felipe Calvo Cepeda modified by akhnurhadi | Mobile Edition by Blogger Touch